Blog ini mengambarkan keluarga Arrie. Berita semasa tentang perkembangan ahli keluarga. Kejayaan, kenangan pahit manis akan dinukilkan disini...

online

URL tambah duit

Monday, March 7, 2011

Pengajaran disebalik musibah


Al-hamdulillah, ujian dari Allah untuk arriesfamily dapat kami tempuhi dengan tenang. Bila difikirkan kenapa kami asyik diuji. Mengapa banyak musibah menimpa arriesfamily kebelakangan ini ?
Jawapannya tidak lain dan tidak bukan adalah tarbiah dari Allah kerana bila kita berada pada jalanNya, pastinya kita diuji. Nabi SAW sendiri pernah diuji.

Dua peristiwa terpenting dalam sejarah Islam yang mengharu dan menggoncang iman serta kesabaran boleh dijadikan landasan sebagai panduan mendidik jiwa menerima qada dan qadar Allah. Peristiwa itu dihadapi Rasulullah saw iaitu kematian Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan Abu Talib Bin Abdul Mutalib. Peristiwa itu dicatatkan oleh ahli sejarah sebagai tahun duka cita atau kesedihan bagi Rasulullah. Abu Talib ialah bapa saudara Baginda yang memeliharanya sejak kecil. Beliau memimpinnya pada masa remaja dan selepas Baginda dewasa. Ketika Nabi diangkat menjadi utusan Allah, Baginda dicemuh dengan pelbagai bentuk tindakan. Abu Talib walaupun tidak menerima dakwah Baginda dan tidak memeluk agama Islam, beliau yang melindungi Baginda daripada perbuatan jahat orang Quraisy.

Selepas kematian Abu Talib, Nabi menerima tamparan hebat dengan kematian isteri Baginda, Khadijah. Beliau adalah wanita yang sentiasa bersama Rasulullah ketika senang atau susah. Khadijah juga penghibur pada saat Baginda gelisah. Isteri yang taat, patuh dan berbudi mulia. Selepas kematian Khadijah, Rasulullah berasakan kehilangan yang besar. Kesepian dirasai Baginda dengan hilang kegembiraan pada wajahnya untuk berdakwah. Pada saat itulah penderitaan yang teramat sangat menyelubungi Baginda. Kaum Quraisy turut menggandakan tentangan terhadap Baginda selepas kematian dua pembela dan pelindung Rasulullah ketika ditimpa kesusahan. Anaknya, Saidatina Fatimah melihat keadaan itu dengan penuh kesedihan. Lantaran itu, beliau menangis di hadapan Rasulullah. Baginda memujuknya dengan berkata: “Janganlah menangis wahai anak kesayanganku, Allah melindungi ayahmu daripada kejahatan manusia.” Namun Allah mengurniakan ketabahan dan kesabaran pada jiwa Rasulullah dan Baginda kembali tenang untuk meneruskan perjuangan menyampaikan risalah Allah.

Jika dibandingkan musibah arriesfamily yang sedikit itu, tidaklah terbanding dengan perderitaan junjungan besar kita. Para sahabat Radiallahhu'anhum juga diuji..

Peristiwa kewafatan Nabi juga lembaran penting dalam sejarah Islam yang turut menggoncang iman dan kesabaran umat Islam seluruhnya. Pada saat kota Madinah diselubungi kesedihan, sebilangan sahabat tidak menerima hakikat itu.

Antaranya ialah Saidina Umar Al-Khattab. Umar menghunuskan pedangnya dan menggertak akan membunuh sesiapa yang mengatakan Baginda sudah wafat. Umar seolah-olah kebingungan tidak mahu membenarkan berita kewafatan itu. Abu Bakar As-Siddiq mententeramkan Umar. Beliau walaupun dalam kesedihan, menenangkan sahabatnya dengan berkata: “Wahai manusia! Sesiapa menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad sudah wafat. Namun, sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah tidak mati.”

Kewafatan Rasulullah adalah ujian yang maha hebat kepada umat Islam untuk menerimanya dan memberi kesan besar kepada iman seseorang. Hal ini berlaku kepada sanak saudara, sahabat handai, jiran dan rakan taulan, khususnya seluruh umat Islam. Justeru, Islam sentiasa menyarankan umatnya mengharungi kehidupan yang dilanda musibah dan malapetaka dengan penuh kesabaran dan kecekalan hati.Bagi mengubat kedukaan dan kesedihan akibat ditimpa musibah, Islam menawarkan penawarnya.

Firman Allah bermaksud: “Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun). Kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.” (Surahat-Takwir ayat 29).

Ujian juga simbolik sebagai perbandingan antara orang yang taat dan ingkar. Ini juga untuk melihat sejauh mana kesabaran dan ketaatan hamba-Nya menerima ujian itu. Seterusnya, ujian itu membentuk keperibadian dan mengangkat martabat serta menghapuskan dosa yang dilakukan. Ujian yang diterima juga adalah medan memperkasakan kesabaran dan membiasakan diri serta menetapkan pendiriannya untuk meneruskan kehidupan. Kehidupan yang dipayungi ujian perlu diiringi dengan sabar dan tabah kerana ini adalah tahap iman paling tinggi di sisi Allah.

Pengajaran yang dapat diambil dari sedikit musibah (kesusahan,kepayahan) yang melanda arriesfamily ialah supaya kita semua lebih tabah menghadapi hari2 mendatang.

Firman Allah bermaksud:“Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagaikebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah yang mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 156 – 157).

Untuk mama tercinta dan anak2 tersayang semoga ujian dari Allah ini dapat kita jadikan panduan untuk kita lebih tabah menghadapi ujian yang lebih besar pada masa akan datang. Semoga arriesfamily sentiasa berada dalam lindungan-Nya...

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

arries family Blak Magik isesigned by productive dreams for smashing magazine Bloggerized by Ipiet © 2008